Kasih Allah Bapa Tuhan Kita

Salam damai dalam nama Tuhan Yesus Kristus, Tuhan dan Juruselamat kita semua.

Saudara yang saya kasihi dalam nama Tuhan Yesus Kristus,
pada ketika ini, saya teringin bercerita mengenai Kasih Bapa, yang sangat setia dan tidak pernah meninggalkan kita. Yang selalu ada ketika kita memanggilNya.

Saya adalah anak ke-5 daripada 8 bersaudara. Saya mempunyai 2 orang kakak, 2 orang abang, seorang adik lelaki, dan 2 orang adik perempuan. Saya berasal daripada keluarga yang susah. Ibubapa saya adalah petani yang mengusahakan ladang padi dan getah. Ayah adalah seorang Kristian yang sangat setia, jujur, dan sangat baik. Kerana itu, kami adik-beradik semuanya mendapat didikan agama yang cukup teguh. Sedangkan ibu pada dasarnya Kristian, tetapi imannya cukup jauh berbeza daripada ayah. Ibu adalah seorang yang panas baran, impatient, cheater@pemutar belit kata-kata yang sangat bijak, dan sering cemburu dengan ayah. Kerana itu kami anak-anaknya sering menjadi sasaran, dipukuli dengan kayu api, rotan atau apapun benda yang berada di tangannya. Itulah ibu yang saya kenal, yang sering memukul kami tanpa sebab, yang tiada pertimbangan ketika rotan, kayu mahupun benda tajam berada didalam gengamannya. Sering kali jika ibu marah, dia akan mengeluarkan kata-kata yang cukup kesat serta mengusir kami keluar dari rumah. Selalunya dia akan menyumpah kami dengan ayat yang tidak sepatutnya keluar dari mulut yang bergelar seorang ibu. Dia selalu akan mengatakan ini "Kamu semua keluar dari rumah ini dan jangan pernah kembali lagi! Kalau nak mati, matilah! Jangan menyusahkan saya!" Lalu ibu akan melempar keluar semua pakaian kami. Ibu kemudiannya akan menyebut satu-persatu nama anak perempuannya dan menyumpah mereka akan mengandung anak luar nikah satu hari nanti! Hanya air mata yang mampu menjadi penawar pahitnya menelan sumpah ibu sendiri seperti itu.

Ibu dan ayah sering bergaduh kerana pendapat yang berbeza dan juga kerana ibu sering curiga terhadap ayah dan mengatakan ayah mempunyai hubungan dengan jiran yang lain. Meskipun penat dengan tuduhan yang salah itu, ayah tetap bersabar dan tetap mencintai ibu. Ketika kami kecil, ayah selalu mempersoalkan mengenai cara ibu melayani anak-anak dan selalunya ibu yang akan menyulitkan keadaan. Bila ibu merasakan ia kalah, ibu mulai bertindak liar dan ganas, ibu akan merosakkan harta benda di dalam rumah dan mulai memukuli kami adik-beradik. Rumah yang telahpun usang seringkali tidak berdinding dikerjakan ibu. Jadi pada ketika itu, kami adik-beradik terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di rumah jiran. Telah banyak kali ibu dan ayah didoakan bersama-sama di Gereja, untuk kesejahteraan rumah tangga mereka, namun ibu nampaknya tidak pernah berubah. Ibu tetap saja melawan ayah dan memarahi ayah sesuka hati. Ayah adalah seorang yang sangat pendiam dan sangat waspada terhadap perkataan dan perbuatannya. Jadi mungkin kerana ayah yang sangat baik itu, ibu mengambil kesempatan untuk menguasai ayah.
Seingat saya, ayah telah banyak kali mencuba untuk menceraikan ibu, tetapi nampaknya Tuhan tidak memperkenankan rencana ayah, jadi mereka tetap kekal bersama hingga ke hari ini.

Pada ketika saya kecil, saya sangat takut berseorangan di rumah bersama ibu. Ini kerana jika saya melakukan kesalahan kecil yang tak tersengajakan, ibu akan memukul saya sepuas hatinya. Jika ibu ingin memukuli saya, dia akan memastikan pintu rumah terkunci rapat agar saya tidak dapat terjun keluar. Ibu akan menarik rambut panjang saya dan melemparkan saya ke lantai. Kerana saya adalah anak bertubuh kecil ketika itu, saya akan terlempar jauh dari hadapan ibu. Ibu kemudian akan mendekati saya, menyeret saya berdiri dengan mencengkam rambut saya dan mengoyakkan bibir saya sepuas hatinya. Selepas itu ibu akan mencuba mematahkan jari-jemari saya dengan melentikkannya ke belakang. Ibu juga pernah melukai lutut kiri saya dengan parang dan sampai pada saat ini, parut luka itu masih kelihatan. Entah mengapa, setiap kali terlihat parut itu, saya akan menangis.
Saya pernah berteriak memanggil nama Tuhan dan tanya Tuhan mengapa itu berlaku. Kerana saya tahu tiada sesiapa lagi yang mampu membantu saya. Selesai ibu memukuli saya dan meninggalkan rumah, saya berteriak dalam kesakitan memanggil nama Tuhan "Allah Bapa! Allah Bapa!saya sangat sakit! Mengapa ini sering berlaku Tuhan? Mengapa!? Tolonglah saya, saya sudah tidak kuat lagi.Tolong ampuni ibu dan buat ibu berubah, Bapa!" Namun saya selalunya hanya terkulai layu dalam tangisan dan kesakitan. Pada waktu itu saya dalam lingkungan umur 6 tahun. Kakak-kakak saya hanya mampu menangisi saya melihat bekas rotan membiru di badan kecil saya. Sekiranya ibu ingin meninggalkan rumah pada waktu tengah hari, ibu akan memastikan kami tertidur pada waktu itu. Ibu menidurkan kami dengan menggunakan Minyak Cap Kapak (minyak yang boleh membantu melegakan sakit perut kerana angin, melegakan sakit kepala, tetapi memedihkan jika terkena di mata). Ibu akan mengoles minyak itu di mata kami dan kemudian meninggalkan kami. Sakitnya didera seperti itu, hanya Tuhan yang mengetahui.

Berbeza dengan ibu, ayah adalah seorang yang sangat ramah terhadap anak-anaknya. Ayah sering mengajar kami berdoa, membaca, dan menulis. Ayah tidak pernah memukuli kami atas kesalahan kecil sebagaimana amnya anak-anak kecil berbuat salah. Selama membesar, saya pernah melihat ayah memukul anak-anaknya 1 kali sahaja. Ayah memukul 2 orang abang saya semasa mereka berdua meningkat remaja. Ayah memukul mereka berdua kerana mereka merokok. Menurut ayah, merokok adalah perbuatan yang tidak baik dan ia tidak menyukainya.
Jadi selama kami membesar, kami dibesarkan dengan kasih sayang ayah dan pukulan ibu. Meskipun begitu, kami tetap mendoakan ibu sebagaimana kami mendoakan ayah.

Selama saya bersekolah, ibu seringkali mencuba melakukan sesuatu yang akan menyebabkan saya dibuang sekolah. Pada ketika umur 11 tahun dan akan memasuki darjah 5 (Sekolah Rendah Malaysia), ibu tidak menghantar saya ke sekolah. Ibu malah menghantar saya ke pangkuan pakcik saya (adik lelaki ibu). Pakcik itu tinggal jauh dari kampung saya. Daerah pakcik tinggal dipanggil sebagai Sandakan. Saya yang tidak mengetahui rancangan ibu, hanya mengangguk setuju. Jadi saya terlepas pelajaran selama setengah tahun. Merasa aneh tidak bersekolah, saya memaksa pakcik saya menghantar saya kembali ke kampung. Hal itu tentu saja buat ibu jengkel, tetapi ibu buat tak endah. Saya bertanyakan perihal sekolah saya, namun ibu tidak menjawab saya. Kerana tetap ingin belajar, esok paginya saya nekad untuk ke sekolah dan memakai semula baju uniform usang saya. Puji Tuhan! Ketua Guru Besar dengan senang hati menerima saya belajar semula. Pada waktu itu, ibu tidak menemani saya ke sekolah, manakala ayah pula berada di daerah lain ketika itu.
Saya berjaya menamatkan sekolah rendah dengan menduduki peperiksaan UPSR(Ujian Penilaian Sekolah Rendah-Malaysia).
Selanjutnya saya akan melangkah ke alam baru Persekolahan Menengah iaitu Tingkatan 1. Pada waktu itu, Saya berusia 13 tahun, kakak kedua saya berusia 15 tahun, kakak Tingkatan 3 pada waktu itu. Kami menuntut di sekolah yang sama. Ibu memberitahu saya bahawa saya tidak diperbolehkan melanjutkan pelajaran. Kerana keluarga tidak memiliki wang yang cukup untuk menanggung persekolahan adik-beradik yang lain. Ibu mengatakan bahawa ia tidak akan membelikan baju sekolah uniform untuk saya. Hal itu tentu saja buat saya sangat kecewa dengan ibu dan saya hanya mampu menangis dari hari ke hari menjelang pendaftaran kemasukan Sekolah Menengah. Walaubagaimanapun, saya tetap bertekad untuk melanjutkan pelajaran saya. Mengenangkan bayaran sekolah dan asrama tidak dibiayai oleh ibu, saya mengerah tenaga saya sendiri mencari wang. Jadi, selama menunggu hari pendafaran, saya mengambil upah dengan membantu tetangga menuai padi di ladang mereka. Dalam masa dua bulan saya telahpun menyimpan wang dalam 100+MYR.
Puji Tuhan! Seorang teman Sekolah Rendah yang mempunyai lebih baju seragam, dengan senang hati memberikan saya sepasang baju itu! Dengan penuh suka cita saya berseru memuji Tuhan. Saya tidak menghiraukan jika ibu tidak membiayai persekolahan saya, Tuhan itu ada untuk menolong saya. Jadi saya tetap nekad meneruskan pelajaran ke sekolah menengah.
Pada waktu saya mendaftarkan diri ke sekolah, tiada seorang pun ahli keluarga saya yang menemani saya. Sedangkan teman-teman saya yang lain, mereka bersama dengan salah satu ahli keluarga mereka. Saya hanya membawa beg usang yang telahpun rosak, dipenuhi dengan baju-baju lusuh dan beberapa keping buku nota. Perjalanan menuju ke sekolah menengah mengambil masa 1 jam setengah berjalan. Jadi sepanjang berjalan menuju ke sekolah, saya memeluk beg lusuh itu dan mengatup zip beg yang telahpun rosak. Entah mengapa, saya sedikitpun tidak menangis keatas kedaifan saya, saya malah tersenyum riang kerana tetap dapat meneruskan pelajaran dan membayangkan cita-cita saya tercapai.

Berkongsi sekolah dengan kakak kedua saya sungguhlah merumitkan saya. Dia sering memarahi saya tanpa alasan. Seringkali dia akan berteriak memarahi saya di depan teman-teman sekolah dan itu membuatkan saya cukup berasa malu. Untunglah, kami ditempatkan di blok asrama yang berbeza. Saya ditempatkan di blok asrama yang tidak seorangpun yang saya kenali, dan majority, room-mate saya adalah senior yang menuntut sebagai pelajar Tingkatan 3. Itu membuatkan saya pendiam walaupun banyak bergaul dengan mereka.
Kakak saya hanya akan bermanis muka ketika dia minta pertolongan seperti mencuci baju dan kasut sekolahnya di hujung minggu, ataupun mengemas katil dan almari pakaiannya. Dia tidak pernah sekalipun mengajar saya tentang subjek pelajaran. Antara dia dan saya punya perbezaan yang sungguh jauh. Dia sangat bertuah kerana mendapat tajaan biasiswa sekolah, sedangkan saya tidak, kerana kakak telah mendapatnya terlebih dahulu. Jadi sepanjang persekolahan saya di sekolah pedalaman itu, saya tidak pernah berbelanja makanan dan berbaju baru seperti teman-teman lain. Namun tidak mengapa, lebih dari yang cukup jika saya mampu terus bersekolah dan belajar. Lagi pula, di sana terdapat sebuah kampung yang mempunyai sebuah Gereja, jadi setiap pagi Ahad, saya dan kawan-kawan Kristian yang lain akan beribadah di sana. Tempatnya sungguh aman dan tenang, ramai sekali jemaat di sana.
Selama saya dan kakak bersekolah dan tinggal di asrama, tidak pernah sekalipun ibu datang mengunjungi kami berdua. Ayah pada ketika itu berkerja di daerah lain dan tidaklah begitu mudah datang menjenguk kerana ayah berkerja di dalam hutan.

Tahun 2000, saya mula menuntut sebagai pelajar Tingkatan 2. Kakak telahpun berpindah ke sekolah lain, sekolah yang terletak berhampiran dengan pekan kecil. Kerana sekolah menengah di pedalaman itu hanya menawarkan kelas sehingga Tingkatan 3 sahaja. pada umur 14 tahun ini juga, saya memberi diri saya di baptis di Gereja kampung tersebut. Tahun 2000, Gereja itu menerima sumbangan Alkitab percuma, sumbangan daripada Pusat Gereja SIB (Sidang Injil Borneo)
Ibu mengacau persekolahan saya pada pertengahan tahun 2000 dan merancang sesuatu. Satu hari, ibu datang ke sekolah. Hairannya, ibu selama ini tidak pernah datang ke sekolah, tiba-tiba muncul pagi itu. Dia datang berjumpa dengan Tuan Pengetua Sekolah dan kemudiannya minta saya menemuinya. Dia berkata bahawa tuan Pengetua Sekolah meluluskan permohonannya untuk memindahkan saya bersekolah di bandar! Saya pelik, juga takut dan hairan pada masa yang sama. Jadi setelah mengembalikan buku-buku teks sekolah, saya kembali ke rumah dan membawa semua pakaian dan buku-buku saya.
"Esok, kita akan ke Pekan Nabalu (National Park) datang berjumpa dengan keluarga di sana"
Saya melopong mendengar kata-kata ibu. Keluarga!?? Setahu saya, kami tidak punya seorangpun keluarga di pekan itu! Jadi saya hanya menurut arahan ibu, kerana takut amarahnya, juga kerana serik untuk dipukul lagi.
Keesokan harinya, saya dan ibu menaiki bas tumpangan menuju ke pekan dan itu memerlukan 2 kali pertukaran bas. Perjalananya memakan kira-kira 6 jam menuju ke Pekan Nabalu.
Rupa-rupanya ibu merancang untuk saya tinggal dengan keluarga Pastor itu dan bersekolah di daerah lain! Saya tidak mengenali keluarga itu. Mereka merupakan keluarga yang cukup berada. Rumahnya besar dan cantik, suaminya memiliki kereta mewah. Suaminya adalah seorang guru Sekolah Menengah, manakala ibu itu pula melayani sepenuh masa di Gereja.
Jadi kerana tidak membawa peralatan persekolahan saya, saya dan ibu kembali ke kampung dan keesokan hari, ibu meminta abang sulung saya menemani saya kembali ke pekan itu. Kerana tidak mengetahui tempat itu, abang hanya menemani saya hingga ke pekan pertama. Saya terkontang kanting! Saya juga tidak mengenali tempat itu, juga tidak diberikan wang belanja walau sesen! Sudah menjadi rencana Tuhan, atas belas kasihan sang pemandu, ia menumpangkan saya dengan percuma. Yang ia ketahui, destinasi saya adalah National Park itu! Jadi kerana tertidur dan juga terlupa simpang menuju ke rumah keluarga itu, saya terlepas destinasi dan berada di tempat yang sungguh asing! Pemandu itu hanya angkat bahu dan meninggalkan saya di tepi jalan raya itu! Wah, Tuhan saya macam mana ini? Ketika itu hari beransur gelap. 100meter di hadapan saya, terdapat sebuah gerai dan beberapa buah rumah, kelihatannya seperti kawasan perkampungan. Namun sungguh saya tidak punya kekuatan untuk mendekati kawasan itu. Perlu diketahui ya, kawasan itu sungguh sejuk, memandangkan kawasan itu berhampiran dengan Gunung Kinabalu(Sabah)
Saya mulai gelisah,susah hati dan juga panik. Saya mulai menangis kecil dan berjalan ke hulu dan ke hilir. Kiri dan kanan high way itu di penuhi hutan belukar. Cengkerik malam mula sahut menyahut menyambut kedatangan senja. Rasa lapar, takut dan susah hati, gelisah dan panik bercampur aduk menjadi satu.
Jadi dalam keadaan berdiri dan menangis-nangis, saya berseru memanggil nama Tuhan. "Allah Bapa, apakah yang perlu saya lakukan sekarang ini? Hari telahpun gelap dan saya tidak tahu tempat ini. Ke mana arah saya harus pergi Tuhan? Saya hanya anak kecil yang tidak mengerti, tolonglah saya Tuhan,tolonglah saya..." Saya mengatakan itu berulang-ulang kali sambil menangis teresak-esak, dengan kesungguhan, penuh pengharapan agar Tuhan menolong saya sambil mengengam erat kedua tapak tangan saya. Saya berdoa terus kepada Tuhan, mengatakan semuanya apa yang terlintas di fikiran. Saya tidak peduli kereta yang sesekali melalui tempat itu. Perasaan malu sudah tidak saya pedulikan. Yang saya tahu, hanya Tuhan yang mampu menolong saya pada saat itu. Maka itu saya terus menerus berdoa sambil menangis memanggil nama Tuhan. Selepas beberapa minit berdoa dan berseru memanggil nama Tuhan, saya berhenti berjalan dan bercakap, namun tetap menangis. Beberapa saat saya berhenti berdoa, saya melihat orang-orang yang sedang mengunjungi kedai kecil itu melambai-lambai tangan ke arah saya dan meminta saya datang ke sana! Oh Bapa, apa yang saya lihat ini! PertolonganMU tak pernah terlambat! Terima kasih Tuhan,Engkau menolong anakMu ini...! Saya berteriak gembira mengucap syukur kepada Tuhan atas kemurahan dan pertolonganNya. Sepanjang perjalanan menuju ke gerai kecil itu, saya tidak putus-putus berterima kasih kepada Tuhan.
Berkat kemurahan Bapa, saya mendapat 20MYR(Malaysia Ringgit) setiap seorang dari bapa-bapa itu! Mereka juga menumpangkan saya tidur di rumah seorang ibu yang mempunyai dua orang anak. Maka malam itu saya tidur dengan tangisan kesyukuran. Saya tidak putus-putus memuji Tuhan sehinggalah saya tertidur. Paling menggembirakan sekali, mereka kenal dengan keluarga yang akan saya pergi itu. Keesokan harinya, ibu itu menemani saya ke tempat keluarga itu. saya berterima kasih tidak terhingga kepada ibu itu dan kami berpisah setakat di persimpangan rumah keluarga yang saya tuju itu.
Saya sekali lagi dikejutkan dengan rancangan ibu mengenai keluarga baru itu. Ibu itu mengatakan dia terlalu mengingini anak perempuan. Dia mempunyai anak, tetapi mereka semuanya anak lelaki. Jika saya bersetuju tinggal bersama mereka, maka saya tidak diperbolehkan kembali ke pangkuan keluarga saya! Saya masih boleh berjumpa dengan keluarga saya, tetapi hanya setahun sekali! Ibu saya telahpun bersetuju jika dia mengambil saya sebagai anak angkat perempuannya! Mengapa saya!? Saya terkenang adik-beradik saya. Saya terbayang-bayang senyuman ayah, saya rindu rumah saya! Hati saya berteriak mengatakan tidak! Tetapi saya tidak tahu jawapan apa yang harus saya berikan, kerana takut untuk mengecewakan ibu itu. Dia adalah seorang ibu yang lemah lembut dan sangat penyayang. Entah mengapa, hati saya seakan tidak sanggup dan tidak rela untuk berpisah dengan adik- beradik saya.
Keesokan harinya, mereka membawa saya ke sekolah yang jauh dari pekan itu. Daerah itu dipanggil sebagai Kundasang dan sememangnya sangat jauh dari National Park. Puji Tuhan, sekolah mahupun asrama itu telahpun penuh padat dengan pelajar, dan Pihak Sekolah tidak menerima kemasukan lagi.
Jadi saya tidak buang masa, saya kembali ke kampung halaman saya dan kembali ke Sekolah lama saya. Saya mohon kepada Pengetua sekolah itu dan mengatakan kepadanya saya ingin belajar dan ingin berjaya seperti orang lain. Puji Tuhan, dia masih mahu menerima saya dan dengan senang hati membuka pintu asrama bagi saya.
Berkat kemurahan Tuhan, saya lulus dalam peperiksaan Tingkatan 3 yang dipanggil sebagai PMR(Penilaian Menengah Rendah-Malaysia)
pada tahun 2001 yang membolehkan saya meneruskan pelajaran ke Tingkatan 4.
Namun pada tahap Tingkatan 4, saya perlu bersekolah di pekan, yang jauh dari kampung halaman dan memerlukan kereta ke sana. Mujurlah di terima menjadi penghuni asrama dan bersekolahlah saya hinggalah tamat Tingkatan 5 yang mana saya perlu mengambil peperiksaan SPM(Sijil Pelajaran Malaysia)Peperiksaan tersebut merupakan peperiksaan terpenting dalam Mekolah Menengah di Malaysia. Peperiksaan itu menentukan tahap kelayakan kita memasuki mana-mana IPTA(Institut Pengajian Tinggi Awam)ataupun nama lainnya Universiti. Syaratnya, hanya perlu lulus cemerlang dalam Bahasa Melayu, Matematik, sains, dan 3-5 subjek elektif yang lain. Jadi saya lulus cemerlang dalam SPM dan memilih untuk meneruskan pelajaran ke Tingkatan 6 dan juga lulus penuh dalam STPM(Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia)pada tahun 2005.
Inilah dia sebahagian daripada kasih karunia Tuhan menyertai saya sehinggalah saya berhasil pada hari ini. Puji Tuhan!

Satu hal yang sangat menyakitkan saya adalah ingatan-ingatan mengenai ibu saya. Setiap kali terihat bekas luka di lutut saya, saya menangis mengenangkan kebengisan ibu memukul saya. Saya membesar dalam kebencian dan tidak menyukai ibu! Saya sepertinya masih terasa bagaimana sakitnya ibu mencuba mengoyakkan bibir saya, mematahkan jari-jemari saya, menarik rambut saya, serta melemparkan saya seperti kain buruk. Ibu juga pernah menendang perut saya dan memijak kedua-dua belah peha kaki saya. Hingga pada saat ini, saya masih menangisi zaman kecil saya. Muka saya masih terdapat bekas cubitan ibu sewaktu kecil. Saya bertumbuh besar menjadi gadis remaja yang tersangatlah sensitif, rendah diri, tiada keyakinan, panas baran, pemarah, dsb berpunca daripada cara ibu mendidik saya.
Saya tidak bermaksud mencela ibu saya disini, saya paparkan ini untuk pengajaran dan renungan buat bakal-bakal ibu yang akan menimang cahaya mata sendiri. Renungilah, dan kasihanilah anak-anak kecil anda. Sekiranya dia melakukan kesalahan, anda mungkin boleh merotannya, tetapi berpada-padalah merotan, jangan sampai meninggalkan parut di badan dan hatinya buat seumur hidupnya! Itu adalah darah daging anda sendiri, yang anda dapatkan atas nama cinta bersama suami anda. Tunduklah pada suamimu, kerana dia adalah penaungmu, hormatilah dia seperti mana kamu menghormati dan mencintai dirimu sendiri. Berdoalah senantiasa kepada Tuhan dan meminta Bapa untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga anda. Peliharalah kehormatan dan kesucian rumah tanggamu!

Dalam keadaan seperti apapun aku hari ini,
aku tahu bahawa Engkau,Bapa,
yang selalu mendengar saat aku berteriak,
Bapa yang selalu memberi saat aku meminta,
Bapa yang selalu membukakan pintu, saat aku mengetuk,
Bapa yang mempunyai rancangan terbaik bagi hidupku.
Begitu indah kasih Bapa, yang tidak pernah jemu menolong dan menuntunku. Seperti mana Bapa menuntun orang Israel keluar dari Mesir, begitu juga Dia menolong saya. Menjawab setiap persoalanku, yang selalu setia mengasihiku tanpa jemu dan tidak pernah meninggalkanku! Terima kasih di atas kebaikan dan kemurahanMu ya Allah! Sungguh pertolonganMU tidak pernah terlewat! Aku berdoa Tuhan, bagi setiap anak-anakMu yang membaca kesaksian ini mendapat berkat yang sama dan juga diberkati oleh namaMU, kerana sungguh tanganMu tidak pernah berubah! Haleluyah, terpujilah nama Allah Bapa, yang penuh mujizat dan kemuliaan, Tuhanku luarbiasa!
Engkaulah Alfa dan Omega, yang Awal dan yang Akhir, Raja segala raja, kekuatanku, kerinduanku, aku mencintai Engkau ya Allah Bapa! Ajarilah aku untuk menyenangkan hatiMu ya Bapa, pakailah aku sebagai alatMu untuk kemuliaanMu ya Allahku!
Sesungguhnya kemuliaan, kehormatan, kebesaran hanya bagiMu Tuhan. Haleluyah!
Hosana bagi Dia! Hosana bagi Dia! Hosana bagi Dia....!
AMEN....

Kata Bijak: 

1 Corinthians 10:13 (ESV)[English Standard Version]
13 No temptation has overtaken you that is not common to man. God is faithful, and he will not let you be tempted beyond your ability, but with the temptation he will also provide the way of escape, that you may be able to endure it.

Tinggalkan Komentar